Prof. Dr. Rozaimi Ramle.

KUALA LUMPUR – Adalah tidak bijak untuk parti politik seperti Pas atau penyokongnya memilih untuk bermusuh dengan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Malah, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle berkata, beliau percaya Timbalan Pesuruhjaya Pas III, Datuk Seri Shahidan Kassim mengetahui berkenaan implikasinya.

Jelas beliau, mufti bukan orang politik dan tidak memerlukan sokongan rakyat atau undian awam untuk diangkat ke jawatan itu.

Malah, katanya, jawatan mufti juga bukan lantikan kerajaan negeri mahupun orang politik.

Dalam konteks di Perlis misalnya, tambah beliau, ramai tidak mengetahui sebahagian kempen mengajak rakyat bersolat adalah cadangan asal Mohd. Asri untuk membantu kerajaan negeri.

Katanya, kempen itu yang dilancarkan pada 2023 adalah salah satu usaha Mohd. Asri memperkenalkan kerajaan PN kepada rakyat Perlis.

“Mufti boleh sahaja terus letak billboard secara umum atau buat kempen ini tanpa libatkan pimpinan politik negeri.

“Namun ini salah satu usaha beliau nak bantu memperkenalkan Kerajaan PN di Perlis ketika itu.

“Bahkan sehingga sekarang dalam laman sosial masih kekal gambar-gambar billboard ahli politik Negeri dengan kempen solat dan lain-lain,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Mohd. Asri yang juga dikenali sebagai Dr. Maza susulan pandangan beliau terhadap kemelut politik di Perlis selain kritikan terhadap sumpah baiah Pas.

Sementara itu, Rozaimi yang juga penceramah bebas berkata, menjadi kebiasaan mereka yang bekerja di belakang tabir tidak akan dihargai.

“Sebab makhluk tidak nampak usaha kita. Tapi biar Tuhan yang menilai tenaga yang kita keluarkan sama ada mendapat redha makhluk atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast