BATU PAHAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas enam tan bijih timah bernilai RM600,000 selepas menahan sebuah bot barter trade dari Indonesia di barat daya Pulau Sialu dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, bot berkenaan ditahan pukul 3 pagi dalam rondaan operasi penguatkuasaan.
“Pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan 120 guni berisi bijih timah dengan anggaran berat keseluruhan sekitar 6,000 kilogram. Mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.
“Seramai tiga kru bot terdiri daripada seorang tekong dan dua awak-awak warganegara Indonesia berusia antara 33 hingga 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perintah dalam penahanan (DO) awal juga dikeluarkan terhadap bot berkenaan.
Katanya, bot bersama-sama muatan dan kru kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Mohammad Zaini berkata, kejayaan rampasan itu mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
Tambahnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti haram di perairan negara tanpa kompromi.- MalaysiaGazette
















