SEGAMAT – Banjir di daerah ini semakin pulih apabila hanya 111 mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 1 tengah hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, jumlah tersebut melibatkan 34 keluarga dari tigabuah kampung.
Beliau yang juga Pengerusi Pengurusan Jawatankuasa Bencana negeri berkata, melibatkan penduduk dari Kampung Sebarang Batu Badak, Kampung Serdang dan Kampung Paya Lebar.
“Mereka ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Sebarang Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Balai Raya Kampung Sanglang dan Balai Raya Kampung Paya Lebar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua mangsa ujarnya, dipindahkan susulan hujan lebat berterusan di daerah ini beberapa hari lalu secara berperingkat-peringkat untuk tujuan keselamatan.
Beliau juga memaklumkan terdapat lapan buah sungai sudah berada pada paras bahaya di empat daerah.
Katanya, ini melibatkan Sungai Muar di Segamat; Sungai Muar dan Sungai Kesang di Tangkak; Sungai Punggai di Kota Tinggi serta Sungai Muar di Muar.
Selain itu katanya, terdapat cerun runtuh di Felda Tenggaroh 3, Mersing selain banjir di Jalan Putting, Segamat dan Jambatan Kesang di Sungai Rambai, Tangkak, retak.- MalaysiaGazette
















