2025 diwarnai dengan kes-kes mahkamah berprofil tinggi.

KUALA LUMPUR – Kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam terus mencuri tumpuan sepanjang tahun ini antaranya melibatkan pemimpin politik, golongan selebriti, pendakwah dan orang awam sehingga mencetuskan perdebatan umum.

Antara yang mendapat perhatian melibatkan titah adendum yang dipohon bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang `menutup tirai’ kes 2025.

Selain itu, pemimpin politik `turun naik mahkamah’ juga mendapat liputan meluas termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ahli keluarga keluar selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan membebaskan beliau dari sabitan dan hukuman terhadap kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahahan wang haram, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

Dalam pada itu, kes melibatkan aset yang dimiliki individu berpengaruh turut menarik minat antaranya melibatkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarganya.

Pendakwaan kes yang melibatkan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin dan pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir turut `diburu’ media yang sanggup `bertunggu tangga’ di mahkamah sejak awal pagi.

Ibu kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf ditemani oleh suaminya Zaim Ikhwan Zahari tiba di untuk mendengar keputusan akhir berkaitan kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme tersebut di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OKTOBER 2025 (GAMBAR FAIL)

Malaysia Gazette mengimbas kembali kes-kes yang menjadi sorotan umum sepanjang tahun ini.

24 Februari
Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada tuduhan menghasut, berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu ceramah politik, pada Julai 2023 lalu.

26 Februari
Seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom dihukum penjara maksimum tujuh tahun atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan enam senjata api, tahun lalu.

4 Mac
Mahkamah Rayuan memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony menjalani hukuman penjara tiga tahun kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

27 Mac
Lelaki orang kurang upaya (OKU), Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, yang tular mencabul kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun lapan bulan di sebuah masjid di Batang Kali, dekat Hulu Selangor menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal pada 21 Februari.

19 Mei
Mahkamah Tinggi Klang membenarkan rayuan bekas pendakwah selebriti, PU Azman dan memerintahkannya menjalani hukuman serentak selama 12 tahun berbanding 24 tahun atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki.

3 Jun
Mahkamah Tinggj Kuala Lumpur membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membekukan tujuh hartanah termasuk tiga kediaman mewah di London dan satu akaun bank didakwa milik isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga.

17 Jun
Penyanyi Naim Daniel didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel, Mei lalu.

20 Jun
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

25 Jun
Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman atas empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), tujuh tahun lalu.

21 Julai
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memerintahkan ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf membela diri, manakala bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lalu.

22 Julai
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik tuntutan saman fitnah masing-masing di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu berkaitan isu ‘kutty’ dan dakwaan menggunakan kedudukan untuk campur tangan dalam prosiding kes yang masih berjalan di mahkamah.

20 Ogos
Lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina Mahathir.

20 Ogos
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta.

3 September
Inkues bagi menentukan punca sebenar dan menyiasat kematian Zara Qairina Mahathir bermula di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

1 Oktober
Mahkamah Persekutuan memerintahkan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan dua sebatan kerana merogol pembantu rumah warganegara Indonesia, enam tahun lalu.

17 Oktober
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak dengan tidak sah dan melampaui kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan, apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan.

22 Oktober
Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu.

23 Oktober
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencapai kata sepakat di Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk menamatkan pertikaian berhubung kes saman fitnah mengenai kenyataan dalam Program Jelajah PN Best Tambun, tiga tahun lalu.

31 Oktober
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memerintahkan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf menjalani hukuman penjara lima tahun kerana mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.

4 November
Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang didakwa boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

5 November
Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi berjumlah lebih RM30 juta kepada Pastor Raymond Koh selepas membenarkan saman lelaki itu dan isterinya, Susanna Liew.

Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi berjumlah RM3 juta kepada isteri aktivis Amri Che Mat, selepas memutuskan kedua-dua pihak itu bertanggungjawab ke atas kehilangan aktivis terbabit.

7 November
Setelah menjalani hukuman penjara 13 bulan dan 20 hari, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, anak bekas pengasas Al-Arqam dan 11 pemimpin tertinggi syarikat itu dibebaskan selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di Penjara Kajang atas satu pertuduhan pilihan, menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang, lima tahun lalu.

12 November
Pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Sheila didakwa lagi di Mahkamah Majistret atas satu pertuduhan menghalang tugas anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Balai Polis Chow Kit, di sini.

13 November
Mahkamah Persekutuan menolak usaha terakhir Semantan Estate(1952) Sdn. Bhd. untuk mendapat kebenaran merayu berkaitan tuntutan melibatkan tanah seluas 263.272 ekar di Duta Enclave.

3 Disember
Mahkamah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara kepada 12 tahun terhadap bekas pekerja teknologi maklumat (IT) yang sebelum in dihukum penjara 16 tahun kerana menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuh Raya Utara Selatan pada 2019 lalu.

4 dan 5 Disember
Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala umpur dan Shah Alam atas satu kes bersetuju menerima rasuah RM100,000 dan tiga kes memperoleh wang termasuk kelengkapan perabot serta barangan elektrik berjumlah RM76,829.03 pada 2023 dan tahun lalu.

8 Disember
Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan bersubahat berhubung kes rasuah RM400,000 dalam projek penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah, lima tahun lalu.

9 Disember lalu
Negara memperoleh kemenangan paling bermakna apabila Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr. Gonzalo Stampa dalam tuntutan difailkan kumpulan Sulu.membabitkan tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.

Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya keputusan Penimbang Tara pada 28 Februari 2022, dan mengarahkan penuntut Sulu membayar kos berjumlah €200,000 (RM1.092 juta).

18 Disember
Kerajaan memohon untuk melucut hak wang dalam akaun bank milik Ilham Tower Sdn Bhd dan seorang individu yang disiasat berkaitan keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

22 Disember
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak untuk menguatkuasakan titah adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

26 Disember
Mahkamah Tinggi mensabitkan Datuk Seri Najib Razak terhadap semua 25 pertuduhan berkaitan dana 1MDB dan memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara 15 tahun dan didenda berjumlah RM11.38 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast