Khairy Jamaluddin; Rafizi Ramli dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Kemelut politik yang melanda di dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini membuka satu babak baharu yang menarik perhatian dan ruang pemikiran khususnya dalam kalangan pengundi muda dan golongan atas pagar.

Pemerhati politik, Hizwan Ahmad berkata, ia bukan sekadar siapa yang menggantikan siapa, tetapi lebih besar daripada itu iaitu berkenaan ke mana hala tuju politik negara selepas ini.

Menurutnya, apa yang berlaku juga mungkin memberi ruang kepada olahan semula hala tuju politik Malaysia yang lebih segar, lebih berani dan kurang terikat dengan skrip lama.

Hakikatnya, tambah beliau, suhu politik negara sejak dua hingga tiga dekad lalu terlalu lama berlegar sekitar nama-nama sama seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad; Datuk Seri Anwar Ibrahim; Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, ujarnya, kemelut politik hari ini mungkin merupakan peluang untuk menghidupkan politik yang lebih segar, yang tidak sekadar ulang tayang konflik lama, tetapi berani menulis skrip baharu.

Hizwan Ahmad.

Dalam konteks itu, ujar beliau, nama-nama seperti Khairy Jamaluddin; Datuk Seri Rafizi Ramli dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sering muncul dalam perbincangan awam.

“Menariknya, ketiga-tiga tokoh ini hadir dengan latar belakang, pengikut dan ideologi yang berbeza.

“Syed Saddiq dengan politik anak muda dan idealisme pasca-reformasi. Khairy Jamaluddin dengan pengalaman pentadbiran, kefahaman dasar dan kemampuan merentas blok politik.

“Rafizi pula dikenali dengan pendekatan teknokratik, data-driven dan keberanian mencabar status quo,” katanya.

Tambah Hizwan, sekiranya ketiga-tiga figura politik itu digabungkan, walaupun sukar dan penuh cabaran, ia berpotensi mencetuskan kejutan besar kepada “dinosaur politik” yang masih berkira-kira untuk terus kekal sebagai aktor utama dalam cerita lama politik tanah air.

Jelasnya, gabungan mereka bukan soal kuasa semata-mata, tetapi tawaran idea dan naratif baharu kepada rakyat.

“Mereka mungkin boleh mengetepikan perbezaan, bukan untuk menjadi seragam, tetapi untuk bersama menawarkan satu Malaysia baharu.

The great reset of Malaysian politics yang sering dibincangkan, tetapi jarang benar-benar dicuba,” katanya.

Tambahnya, meskipun risiko gabungan pemimpin berkenaan besar termasuk serangan politik, sabotaj dalaman dan skeptisisme rakyat, namun ia adalah lumrah bagi ahli politik yang tidak takut mengambil risiko.

Apatah lagi, ujar beliau, dalam sejarah, perubahan besar jarang lahir daripada zon selesa.

“Soalnya sekarang bukan bolehkah ia berlaku, tetapi beranikah kita membenarkannya berlaku.

“Dan mungkin, untuk pertama kali selepas sekian lama, soalan itu patut dijawab oleh generasi baharu dengan cara mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast