Hassanuddin Salim

KUANTAN – Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) semalam menunjukkan beliau mempunyai sifat kepimpinan berjiwa besar.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Hassanuddin Salim berkata, keputusan meninggalkan jawatan tertinggi itu juga membuktikan bekas Perdana Menteri itu mengutamakan kesejahteraan gabungan berbanding ego peribadi.

“Pas Pahang juga merakamkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana meletakkan jawatan Pengerusi PN demi kepentingan lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya Pas Pahang komited memperjuangkan kesatuan ummah di Pahang dengan pelantikan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Ketua PN Pahang.

Pelantikan itu katanya cerminan persefahaman dan kepercayaan antara komponen PN dan kenyataan bahawa kesatuan ummah bukan slogan tetapi tindakan nyata.

“Politik yang kami perjuangkan bukan untuk kuasa sempit, tetapi memberi khidmat kepada rakyat dan memacu kemajuan negara. Kami berpegang pada prinsip ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’.

“Kesatuan Melayu Islam adalah keutamaan, dan kami tidak berkompromi dengan pihak yang cuba memecah perpaduan ummah. PAS Pahang akan memastikan PN negeri ini kekal sebagai benteng perpaduan ummah yang teguh,” tambahnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan turut memuji keputusan Pas Perlis yang tidak menganggotai Exco yang dibentuk Menteri Besar baru negeri itu.

Tindakan Pas Perlis melepaskan semua jawatan sebagai solidariti katanya membuktikan kematangan politik yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi jawatan peribadi.

“Tindakan Pas Perlis tidak menganggotai Exco adalah sikap tegas menjaga integriti dan prinsip perjuangan. Pas sanggup berkorban kedudukan pentadbiran demi mempertahankan kesatuan dan keutuhan PN.

“Sikap tidak tamak kuasa ini amat jarang dalam politik Malaysia dan perlu dipuji sebagai contoh kepimpinan berintegriti,” kata Hassanuddin lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast