Prof. Dr. Mohd Shafry menyampaikan bantuan dalam Sesi Penyerahan Sijil Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM di ruang tamu Pejabat Naib Canselor, UTM, Skudai hari ini.

JOHOR BAHRU – Warga prefesor dan beberapa staf pentadbiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai di sini memberi sokongan berterusan terhadap penuntutnya yang berprestasi tinggi dan menunjukkan potensi cemerlang dalam bidang masing-masing.

Inisiatif UTM menyokong kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat mahasiswa tersebut dilakukan menerusi penganjuran Sesi Penyerahan Sijil Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM di ruang tamu Pejabat Naib Canselor hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan terhadap mereka.

Menurut beliau, inisiatif biasiswa itu mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan akademik dan penyelidikan dapat dilaksanakan secara lestari.

“UTM sentiasa komited menyediakan sokongan menyeluruh bagi memastikan perjalanan akademik dan penyelidikan universiti dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

“Universiti ini berperanan melahirkan bakat terbaik negara yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara melalui inovasi serta penyelesaian lestari,” katanya dalam kenyataan.

Seramai tiga penuntut pascasiswazah menerima Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM bagi sesi kali ini iaitu Mohd Amirul Mukminin Latirin dari Fakulti Sains, Saranya Devi (Fakulti Pengurusan) dan Megat Irfan Zackry Ismail (Fakulti Komputeran).

Sementara itu, Pengerusi Majlis Profesor UTM, Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim, memaklumkan dana biasiswa itu yang dikumpulkan hasil komitmen bersama-sama dalam kalangan profesor UTM

Mereka, ujarnya, prihatin terhadap kebajikan penuntut menerusi sumbangan tetap melalui potongan gaji bulanan, sumbangan one-off serta sumbangan luar yang diusahakan oleh para profesor.

“Ia mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam memastikan lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian serta mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.

UTM, katanya, terus komited memperkasa budaya kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat melalui pelbagai inisiatif strategik.

Ia selaras dengan aspirasi universiti sebagai peneraju inovasi dan penyelesaian lestari demi kesejahteraan masyarakat dan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast