GEORGE TOWN – Seorang konsultan wanita kerugian RM690,500 akibat terpedaya dengan penipuan pelaburan dalam talian membabitkan skim dikenali sebagai QNTCX, yang ditawarkan melalui TikTok.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 71 tahun itu dikatakan terjerat selepas tertarik dengan iklan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.
“Pada pertengahan November lalu, mangsa dikatakan melihat iklan pelaburan saham yang menawarkan keuntungan tinggi melalui aplikasi TikTok.
“Susulan itu, dia berhubung dengan suspek wanita menerusi WhatsApp dan dijemput menyertai kumpulan WhatsApp bernama ‘QNTCX Invest.
“Mangsa diberi penerangan bahawa pelaburan itu menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh singkat daripada jumlah modal yang dilaburkan selain diminta muat turun aplikasi ONTCX bagi tujuan pendaftaran keahlian dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Azizee, susulan itu antara 10 November hingga 23 Disember lalu, mangsa membuat sebanyak 20 transaksi kemasukan wang berjumlah Ram690,500 ke dalam empat akaun bank milik syarikat berbeza.
“Mangsa menyedari diperdaya apabila tidak menerima keuntungan yang dijanjikan, malah diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran keuntungan.
“Mangsa mula curiga dan mengesyaki telah ditipu sebelum tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 29 Disember lalu.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan penipuan dan orang ramai diingatkan untuk berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan, khususnya yang ditawarkan secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette















