Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor memberikan sokongan penuh dan terbuka terhadap pencalonan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah meletakkan jawatan.

Sokongan ini dibuat berasaskan keperluan mendesak Perikatan Nasional untuk meniup nafas baharu kepimpinan selari dengan realiti politik semasa dan cabaran besar yang sedang dihadapi rakyat serta negara, kata ketuanya, Mohamed Sukri Omar.

“Mengapa Sanusi menjadi pilihan utama? Hujahnya, beliau telah membuktikan keupayaannya sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman mentadbir khususnya melalui rekod pentadbiran di Negeri Kedah.

“Beliau berani mempertahankan hak rakyat negerinya malah konsisten dan tidak takut menyuarakan tuntutan hak Kedah seperti isu royalti air mentah biar pun mendapat tentangan ramai pihak termasuk kerajaan pusat.

“PN perlu dipimpin seseorang yang mempunyai keberanian dan tidak retorik seperti Sanusi,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Sukri menambah, tidak cukup sekadar lantang bersuara, Muhammad Sanusi juga mempunyai karektor unik tersendiri yang mampu diterima setiap lapisan masyarakat dan latar belakang.

Dalam suasana politik yang sarat dengan tekanan, ugutan dan pendakwaan terpilih, Sanusi telah menunjukkan keteguhan prinsip dan keberanian mempertahankan kebenaran, walaupun berhadapan pelbagai serangan politik dan persepsi.

PN sangat mendambakan jurubicara pembangkang yang tegas, berani dan konsisten menegur kelemahan kerajaan demi kepentingan rakyat tanpa gentar, katanya.

“Sokongan terhadap Mohammad Sanusi tidak bermakna Dewan Pemuda Pas Selangor menafikan segala jasa yang dicurahkan Muhyiddin sepanjang beliau mengemudi bahtera PN namun, kita tidak boleh terus dibuai nostalgia.

“PN memerlukan kesinambungan yang lebih segar kepada rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sanusi Pengerusi PN cadangan menarik – Ahmad Yahaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast