JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan 32 individu beragama Islam termasuk enam warga Singapura atas kesalahan minum minuman keras pada malam sambutan tahun baharu di pusat hiburan bandar raya ini semalam.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, semua mereka ditangkap dalam satu serbuan pukul 3.10 pagi.
“Mereka yang ditangkap ini terdiri daripada 25 lelaki dan tujuh wanita yang berusia 18 hingga 45 tahun. Dari jumlah tersebut, 26 adalah warga tempatan dan enam warga Singapura.
“Kebanyakan yang ditangkap itu datang dari negeri dan daerah lain yang datang bercuti di Johor Bahru. Orang yang ditangkap kali ini tidak membabitkan penjawat awam dan tiada daripada kalangan pelajar.
“Semasa penguat kuasa JAINJ datang periksa, kesemua pelanggan berada di kerusi mengadap arak di atas meja masing-masing,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.
JAINJ memaklumkan, semasa serbuan penguat kuasa JAINJ telah mengawal semua laluan keluar masuk pusat hiburan itu bagi mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri, sekali gus membolehkan operasi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Kesemua individu ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana meminum minuman memabukkan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Mereka kemudiannya dibawa menggunakan lori penguatkuasa ke Pejabat JAINJ untuk tindakan lanjut.
“Penguat kuasa JAINJ menegaskan pihaknya akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala dan mengejut di pusat hiburan sekitar negeri ini bagi membendung aktiviti yang melanggar undang-undang syariah,” katanya.- MalaysiaGazette
















