Muhammad Izuan Ahmad Kasim

KUALA LUMPUR – Desakan Pemuda UMNO yang diketuai Datuk Dr Akmal Saleh supaya UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan terus mencetuskan reaksi balas, termasuk daripada pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Timbalan Ketua AMK, Izuan Kasim berkata, Akmal juga boleh menasihatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya membawa cadangan itu ke mesyuarat Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat.

“Kalau Akmal boleh mulakan dalam mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) mencadangkan benda ini (keluar kerajaan) supaya Presiden UMNO bawa benda ini dalam mesyuarat parti-parti Kerajaan Perpaduan untuk keluar daripada kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Izuan, sebarang desakan besar melibatkan hala tuju parti dan kerajaan seharusnya dibawa melalui saluran rasmi serta struktur parti, bukannya sekadar lontaran kenyataan di luar.

Terdahulu, Akmal yang berucap di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini menuntut agar UMNO menarik diri daripada kerjasama politik dengan Kerajaan Perpaduan, susulan dakwaan kegagalan pimpinan komponen kerajaan menghormati garis merah orang Melayu dan Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan, UMNO tidak boleh terus berada dalam sebuah kerajaan yang menurutnya menuntut parti Melayu itu menelan penghinaan serta memejam mata terhadap pencabulan maruah.

“Saya sendiri pernah bagi amaran, sekiranya ‘red line’ ini dilanggar, Pemuda UMNO akan lawan dan tentang habis-habisan!

“Maka hari ini, kebiadaban ini wajib kita hentikan. Oleh itu, Pemuda UMNO dengan tegas menuntut agar UMNO menarik diri daripada kerjasama politik dengan Kerajaan Perpaduan.

“Jangan lagi kita berdiri di dalam sebuah Kerajaan yang gagal menghormati garis merah orang Melayu dan Islam,” katanya menerusi ucapan dasar sempena Konvensyen Khas Pergerakan Pemuda UMNO di WTCKL, hari ini.

Malah, Akmal menegaskan UMNO sedia memilih untuk menjadi pembangkang yang bermaruah, berwibawa dan berprinsip berbanding terus berada dalam kerajaan tanpa harga diri. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast