Perhilitan menangkap dua ekor gajah jantan liar yang menceroboh kawasan ladang di Ulu Sedili, Kota Tinggi dan Tenggaroh, Mersing semalam

KOTA TINGGI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menangkap dua ekor gajah liar di Ulu Sedili dekat sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, tangkapan itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada Pengurusan Ladang Johor Plantation Group (JPG) kelmarin.

“Aduan dibuat selepas kehadiran dua ekor gajah di sekitar kawasan Ladang Pasir Logok, Ulu Sedili. Dua tangkapan gajah Jantan dewasa berjaya dilakukan.

“Seekor gajah dengan saiz tapak kaki hadapan 13 inci ditangkap di Ladang Tenggaroh 12, Mersing pada pukul 12.05 tengah hari.

“Seekor lagi ditangkap dengan saiz tapak kaki hadapan 15 inci berhampiran Ladang Pasir Logok, Ulu Sedili pada pukul 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, gajah yang ditangkap itu merupakan pecahan daripada kumpulan utama ID Jemaluang yang sebelum ini sering memasuki kawasan sekitar Ladang Pasir Logok dan kawasan Pembinaan Kompleks Penapisan Minyak Sawit di Ulu Sedili yang masih dalam fasa pembinaan.

Katanya, aduan diterima daripada pekerja-pekerja pembinaan di kawasan kilang tersebut dengan kehadiran gajah itu ke kawasan tapak pembinaan beberapa bulan lalu.

“Situasi ini telah mendatangkan ketakutan kepada pekerja-pekerja pembinaan tersebut serta sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kerja-kerja di tapak pembinaan.

“Gajah ini ditangkap atas faktor keselamatan pekerja-pekerja pembinaan, pekerja ladang serta penduduk kampung di sekitar kawasan konflik,” ujarnya.

Pihak Perhilitan Johor katanya, akan terus memantau keadaan gajah ini sehingga proses pemindahan ke habitat yang lebih sesuai selesai dijalankan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast