JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) kini semakin bersemangat apabila penyerang prolifiknya, Bergson Da Silva yang cedera sebelum ini akan kembali beraksi esok.
Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, kehadiran tonggak utama Harimau Selatan itu seperti satu suntikan tonik baharu untuk anak buahanya berdepan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, Bergson yang diketepikan akibat masalah kecederaan sebelum ini sudah kembali menjalani latihan bersama-sama pasukan.
“Ya, Bergson sudah kembali berlatih dan berkemungkinan akan diturunkan ketika menentang Selangor (FC).
“Kita yakin kehadirannya mampu menambahkan lagi bisa jentera serangan pasukan pada aksi berprofil tinggi seperti ini dan sekali gus memberikan petanda bahawa JDT tidak boleh memandang ringan cabaran daripada skuad Gergasi Merah itu.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, perlawanan pada Januari dan Februari sangat mencabar buat JDT dan kami perlu memperhebatkan kualiti latihan kerana ini adalah aksi yang sukar, ” katanya menjelang perlawanan tersebut.
Untuk rekod, setelah menamatkan pusingan pertama dengan 12 perlawanan, JDT kekal di tangga teratas liga dengan mengumpul 36 mata, manakala Selangor FC berada di kedudukan ketiga berkongsi 25 mata, dengan Kuching City FC walaupun dipisahkan hanya dengan perbezaan jaringan.
Tambah Munoz, sasaran JDT adalah untuk memulakan pusingan kedua liga dengan langkah kanan sambil mengekalkan momentum permainan dan intensiti tinggi.
“Kami mahu corak permainan dan transisi dilakukan dengan lebih tersusun. Jadi, setiap pemain perlu kekal fokus kerana jadual perlawanan selepas ini lebih mencabar,” ujarnya.
Sementara itu, Munoz lega apabila pemain import, Ager Aketxe, kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan dan dijangka memainkan peranan penting dalam mengemudi jentera tengah pasukan berdepan Selangor FC.
“Sebagai pemain import, Ager tahu tugasnya amat berat. Beliau perlu memberikan 200 peratus dan bukan sahaja dia, malah semua pemain tidak boleh terlalu selesa.
“Dalam masa sama, kelibat Jairo da Silva juga tidak boleh dinafikan apabila dia sudah menjaringkan 12 gol dan dijangka akan terus membantu pasukan bagi melakar kemenangan,” katanya.- MalaysiaGazette
















