PONTIAN – Hubungan antara UMNO dan DAP dalam konteks Kerajaan Perpaduan hari ini bergantung kepada sikap dan kenyataan pemimpin parti tersebut.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu utama yang menjadi penghalang malah sehingga mencetuskan ketegangan adalah kenyataan pemimpin DAP yang dilihat menyakitkan hati ahli-ahli UMNO.
Jelas beliau, contohnya komen Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang ‘meraikan’ keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Disember lalu yang menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum.
“Jika DAP, pemimpin-pemimpinnya dan ahli-ahli Parlimennya tidak menyakitkan hati UMNO, maka damailah (tidak timbul isu atau ketegangan) saya harap pemimpin-pemimpin DAP tidak menyakitkan hati orang UMNO, itu harapan saya. Kalau ada tersilap, minta maaf misalnyalah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM & Komuniti Desa 2026 di Dewan Terbuka Kampung Parit Dato’ Onn, Api-Api di sini hari ini.
Ahmad mengingatkan pemimpin DAP di semua peringkat agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan serta mengambil kira sensitiviti ahli UMNO di peringkat akar umbi.
Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian, ini bagi mengelakkan keharmonian hubungan antara parti dalam kerajaan Perpaduan.
Pemuda UMNO hari ini menganjurkan konvensyen khas di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Konvensyen bertemakan ‘Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan’ itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.
Terdahulu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh secara terbuka menggesa parti menarik sokongan daripada Kerajaan Madani susulan tidak berpuas hati dengan kes Titah Adendum melibatkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Ini susulan komen Bee Yin memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Nenteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Bee Yin dalam hantaran berkenaan.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Ahmad meninjau pameran selepas merasmikan Majlis Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM & Komuniti Desa 2026 di Dewan Terbuka Kampung Parit Dato’ Onn, Api-Api, Pontian hari ini.
















