JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak di Kulai yang membenarkan sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi RON95 di situ.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan itu diambil selepas hasil siasatan mendapati pihak pengusaha stesen minyak berkenaan disyaki melanggar arahan ditetapkan.
“Ini melibatkan arahan Pengawal Bekalan iaitu mengenai larangan penjualan minyak petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing menerusi Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“Kita sudah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan dan semakan dibuat bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya bertindak pantas menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas stesen minyak berkenaan susulan aduan serta penularan video dalam media sosial sejak malam tadi.
Jelasnya, aduan itu berkaitan dakwaan pengisian minyak RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing dengan taktik menutup nombor pendaftaran kenderaan bagi mengelak dikesan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 10.36 malam tadi yang mana pembelian petrol RON95 itu dibuat menggunakan kaedah tanpa tunai di salah satu pam di stesen minyak berkenaan tanpa membabitkan pengesahan identiti di kaunter.
“Daripada semakan transaksi, hanya sebahagian daripada jumlah pembelian berjaya diisi sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya,” katanya.
Lilis Saslinda berkata, kes akan disiasat di bawah AKB 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, bagi pesalah individu.
Katanya, bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.
“Jika pesalah membabitkan syarikat, boleh didenda sehingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda sehungga RM5 juta,” jelasnya.
Pada masa sama, Lilis Saslinda turut mengalu-alukan aduan awam dan telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan dan maklumat bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan dan maklumat.
“Pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak KPDN melalui talian Whatsapp 019 – 848 8000; portal e-Aduan KPDN iaitu [email protected]; ‘call centre 1–800–886-800 serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat dalam media sosial memaparkan seorang individu yang mengesan perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.
Pemilik video mendakwa kemungkinan itu taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing itu supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kenderaan jika mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan.- MalaysiaGazette
















