KUALA LUMPUR – Centre for Future Studies Berhad (The Future) menyambut baik pengenalan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang dilaksanakan oleh KWSP dan kerajaan di bawah Belanjawan 2026.
Menurutnya, perubahan dasar ini melindungi simpanan jangka panjang agar ahli tidak berdepan risiko kehabisan dana ketika usia tua.
Malah, langkah ini adalah positif dan perlu dalam jangka masa panjang.
Mulai 1 Januari 2026 KWSP telah melaksanakan perubahan dasar melalui pengenalan RIA.
Di bawah pendekatan lama, jumlah simpanan RM1 juta sering dianggap sebagai tahap yang “selamat”, membolehkan pengeluaran awal yang besar sebelum persaraan.
Sebagai contoh, seorang ahli berumur 50 tahun dengan simpanan RM1 juta sebelum ini boleh mengeluarkan sekitar RM300,000, meninggalkan baki RM700,000.
Namun, jika tempoh persaraan mencecah 30 tahun sehingga umur 80, baki ini hanya menyediakan kira-kira RM1,940 sebulan.
Jumlah ini semakin tidak selari dengan kos sara hidup semasa, apatah lagi mengambil kira inflasi perubatan dan perumahan.
Melalui RIA, pendekatan ini diperbetulkan dengan menaikkan dan menyusun semula penanda aras simpanan berdasarkan keperluan sebenar persaraan.
Simpanan kini diklasifikasikan kepada tahap Asas dan Mencukupi, dengan penekanan pengeluaran awal hanya wajar dibenarkan jika baki simpanan masih mampu menjamin pendapatan minimum persaraan.
Bagi ahli yang belum mencapai tahap kecukupan, pengeluaran awal sama ada tidak dibenarkan atau dihadkan dengan ketat, contohnya sekitar RM50,000 hingga RM100,000 bagi tujuan yang benar-benar khusus.
Data menunjukkan majoriti pencarum berisiko menghabiskan simpanan persaraan lebih awal, sekali gus terdedah kepada kemiskinan pada usia tua.
Simpanan Asas sekitar RM390,000 hanya bersamaan kira-kira RM1,300 sebulan selama 25 tahun — iaitu tahap minimum untuk kelangsungan hidup, bukan kehidupan yang selesa.
Tanpa pengetatan, tekanan kos sara hidup persaraan akhirnya akan dipindahkan kepada keluarga dan kerajaan, mewujudkan beban fiskal dan risiko krisis sosial dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Malaysia sedang melalui proses penuaan penduduk, jangka hayat meningkat tetapi simpanan persaraan tidak berkembang seiring.
Pada masa yang sama, pasaran kerja berubah dengan peningkatan pekerjasendiri dan gig yang mempunyai caruman tidak konsisten.
Krisis pengeluaran besar-besaran semasa pandemik Covid-19 turut menghakis simpanan ramai ahli, manakala KWSP kekal sebagai instrumen utama persaraan tanpa perlindungan alternatif yang setara.
Namun demikian, The Future berpandangan kesan jangka pendek RIA tidak boleh diabaikan.
Katanya, pengetatan pengeluaran awal boleh mengurangkan fleksibiliti kewangan, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah dan mereka yang benar-benar memerlukan tunai segera akibat kehilangan pendapatan, kecemasan kesihatan atau kejutan ekonomi.
Dalam konteks ini, The Future menekankan pengetatan pengeluaran KWSP tidak boleh dilihat sebagai dasar yang berdiri sendiri.
Jika tidak disokong oleh jaringan keselamatan sosial yang kukuh, ia berisiko menekan kumpulan rentan dalam jangka pendek walaupun niatnya baik untuk jangka panjang.
Jelasnya, secara prinsip, KWSP melindungi pekerja di masa depan manakala perlindungan sosial melindungi masa kini.
Ia kerana,tanpa sokongan sosial, pencarum berpendapatan rendah mungkin terperangkap antara keperluan tunai segera dan simpanan persaraan yang dikunci.
Malah, tekanan kewangan boleh mendorong hutang tidak formal dan masalah sosial lain.
Oleh itu, kejayaan pelaksanaan RIA sangat bergantung kepada penyepaduan dengan dasar sokongan lain.
Antaranya termasuk bantuan kewangan bersasar kepada isi rumah rentan, perlindungan kehilangan pendapatan melalui skim insurans pekerjaan atau bantuan sementara, mekanisme kecemasan alternatif selain KWSP, serta penyelarasan yang lebih erat antara KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit dan agensi kebajikan.
Pada masa yang sama, usaha meningkatkan gaji dan produktiviti serta literasi dan pendidikan kewangan perlu diperkukuh agar rakyat bukan sahaja dilindungi ketika bersara, tetapi juga berupaya membina simpanan yang mencukupi sepanjang kitaran kehidupan bekerja. – MalaysiaGazette
















