KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar, “| LITE U” yang berlangsung dalam majlis gilang gemilang di Bukit Bintang, malam ini.

Anwar ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata, sektor pelancongan berkembang dan berjaya kerana negara  aman sejahtera dalam keadaan rakyat pelbagai kaum hidup sentosa.

“(Industri pelancongan) Ia berjaya kerana negara ini aman, kerana semua kaum dari semua negeri.

“Rakyat dari Perlis sampai ke Sabah bangga dan ini mesti kita pertahankan,” katanya.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari juga hadir.

I LITE U yang merupakan akronim bagi Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi, Eko Mampan ke arah Urbanisasi adalah inisiatif strategik memperindahkan landskap bandar dan meningkatkan daya tarikan pelancongan global Kuala Lumpur menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026).

Ia merupakan projek anjuran bersama KPKT, MOTAC, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan strategik Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang Kuala Lumpur City Centre (BBKLCC), Perbadanan PR1MA Malaysia, YTL Land dan Grab Malaysia .

Bukit Bintang dipilih sebagai lokasi perintis kerana ia merupakan nadi pelancongan, budaya dan ekonomi ibu kota.

I LITE U merangkumi empat komponen utama iaitu Pintu Gerbang (Gateway Lighting) sebagai mercu tanda ikonik, Arca Tahun Melawat Malaysia 2026 serta penaiktarafan lintasan pejalan kaki sedia ada dan baharu dengan pencahayaan yang lebih terang, selamat dan mesra pengguna.

Selain memperindah bandar, projek berkenaan juga menggunakan teknologi pencahayaan cekap tenaga dan mesra alam sekaligus menyokong agenda bandar rendah karbon.

Terdahulu, pelancaran I LITE U dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk perarakan pakaian seragam, persembahan kebudayaan.

Turut memeriahkan majlis persembahan Perarakan 16 Kontinjen Kuala Lumpur Bercahaya yang melibatkan pelbagai jabatan, agensi, dan pelajar sekolah sepanjang laluan sekitar Pavilion Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast