Keadaan Zaeed stabil namun masih menerima rawatan di Hopsital Pulau Pinang.

TELUK KUMBAR – Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang disengat ikan ketuka ketika mandi di Pantai Tanjung Asam di sini, semalam dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Bapa mangsa, Wazir Khan Abdul Wahab, 40, berkata, anaknya, Zaeed Khan Wazir Khan kini berada dalam keadaan stabil namun masih dalam pemantauan doktor susulan mengalami demam secara berselang-seli susulan sengatan berkenaan.

Menceritakan kejadian, Wazir Khan berkata, beliau bersama isteri dan anak tunggal mereka beriadah di pantai berkenaan kira-kira jam 6 petang sebelum anaknya turun ke laut untuk mandi.

Jelasnya, kira-kira 15 minit kemudian, anaknya tiba-tiba meronta-ronta kesakitan sambil menangis.

“Saya segera mendapatkan anak saya dan mendapati terdapat darah, selain duri ikan yang patah masih tertinggal di kaki kanannya.

“Berdasarkan keadaan itu, saya mengesyaki anak disengat ikan ketuka iaitu sejenis ikan pari kecil yang berbisa.

“Susulan itu, kami segera membawa di ke sebuah klinik berhampiran Bayan Lepas sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang memandangkan mangsa masih di bawah umur dan melibatkan sengatan haiwan berbisa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut Wazir Khan mengakui terkejut dengan kejadian itu kerana Pantai Tanjung Asam sering dikunjungi mereka sekeluarga empat hingga lima kali setahun tanpa sebarang insiden.

“Ini adalah kali pertama kami berdepan situasi getir sebegini dan anak saya serik serta fobia untuk mandi laut.

“Malah, saya sendiri panik semalam, ditambah jalan sesak dari Teluk Kumbar ke Hospital Pulau Pinang.

“Sengatan ikan ketuka jarang menimpa orang awam dan biasanya nelayan yang terkena apabila ikan ini tersangkut pada pukat mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Wazir Khan menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada ketika membawa anak-anak mandi di pantai, khususnya ketika air laut surut.

“Nelayan tempatan memberitahu kehadiran ikan berbisa kini meningkat kerana musim udang, menyebabkan ikan menghampiri persisiran pantai.

“Nelayan juga pesan, masa air surut jangan mandi sebab ikan berbisa akan ke persisiran pantai.

“Jadi saya berharap kejadian ini menjadi peringatan kepada ibu bapa lain agar lebih peka terhadap keselamatan anak-anak ketika beriadah di pantai,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video serta gambar kanak-kanak berkenaan meraung kesakitan akibat terkena sengatan ikan ketuka di media sosial.

Gambar tersebut dimuat naik ahli keluarga dengan kapsyen memberita peringatan kepada ibu bapa lain agar berwaspada susulan kejadian menimpa anak mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast