KUALA LUMPUR – DAP tidak sepatutnya gusar dengan gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Madani.
Menurut pemerhati politik, Azizi Safar, jika UMNO benar-benar keluar sekali pun, Kerajaan Perpaduan hari ini tidak semestinya tumbang dan kedudukan DAP dalam kerajaan juga tidak akan terkesan.
Malah, katanya, kerusi-kerusi tradisi DAP juga tidak terjejas memandangkan muafakat parti-parti Melayu bukan formula automatik untuk menewaskan DAP di kawasan-kawasan dikuasai mereka.
Ujarnya, DAP menang dalam pilihan raya umum (PRU) bukan kerana parti-parti Melayu-Islam berpecah tetapi kerana kekuatan jentera parti itu sendiri, demografi pemilih dan pengaruh tempatan yang telah dibina bertahun-tahun.
“Reaksi DAP itu kelihatan agak keterlaluan, seolah-olah satu gesaan dalaman UMNO oleh pemimpin mudanya mampu menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan dan kedudukan DAP dalam kerajaan.
“Jika benar-benar DAP yakin dengan kekuatan sendiri, gesaan Ketua Pemuda UMNO itu sepatutnya tidak mengundang kegusaran,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Azizi, dalam politik, perbezaan pandangan dalam parti lain adalah perkara biasa dan ia bukan ancaman, apatah lagi menjadi sebab untuk bertindak balas secara emosional.
Tambahnya, gesaan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) pula tidak boleh disalah faham sebagai jalan pintas untuk menumbangkan lawan.
Realitinya, ujar beliau, tanpa calon yang kuat, kerja lapangan yang konsisten dan tawaran politik yang relevan kepada pengundi setempat, MN hanya tinggal slogan.
“Di kubu-kubu tradisi DAP, MN masih belum cukup kuat untuk menyaingi pengaruh mereka. Ini realiti politik di lapangan.
“Tanpa calon yang benar-benar diyakini pengundi setempat dan tanpa tawaran dasar yang mampu menembusi kepercayaan pengundi bandar dan separa bandar, MN akan berdepan hadnya sendiri,” katanya.
Disebabkan itu, ujar Azizi, sekiranya Kerajaan Perpaduan tidak terjejas dan kedudukan DAP juga tidak terkesan, tidak ada sebab untuk pemimpin DAP perlu berasa gusar dan gundah-gulana dengan slogan penyatuan ummah yang dibangkitkan Pemuda UMNO.
“Parti yang yakin biasanya tenang. Yang cepat sentap selalunya sedang membaca risiko yang tidak mahu diakui secara terbuka. Apa khabar, PAN (Parti Amanah Negara)?” soalnya. – MalaysiaGazette
















