KUALA LUMPUR – Polemik keluar daripada Kerajaan Madani dan penyatuan semula politik berasaskan identiti kaum dan agama, perlu dinilai secara rasional, berfakta dan berteraskan kepentingan negara.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, dalam konteks demokrasi berperlembagaan, kestabilan kerajaan yang sah merupakan prasyarat utama kepada tadbir urus berkesan serta pemulihan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Menurutnya, sebarang keputusan politik, khususnya melibatkan kedudukan sesebuah parti dalam kerajaan, tidak wajar dipautkan kepada usaha mencabar keputusan kehakiman atau membela individu yang telah disabitkan bersalah melalui proses undang-undang.
Tegas beliau, prinsip kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa mesti dihormati.
“ABIM mengingatkan bahawa penghormatan terhadap keputusan mahkamah merupakan asas kepada kepercayaan rakyat terhadap negara hukum dan tidak boleh dijadikan alat tawar-menawar politik.
“Sebarang percubaan mempolitikkan proses kehakiman hanya akan menghakis integriti demokrasi dan memperdalam krisis kepercayaan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Fahmi, meskipun pandangan Kerajaan Madani dari sudut angka Parlimen masih mempunyai majoriti walaupun tanpa sokongan sesebuah parti, namun politik negara tidak boleh diurus sekadar melalui matematik kerusi.
Ujarnya, hakikat bahawa kerajaan masih boleh bertahan tidak bermaksud wajar untuk mencetuskan ketegangan politik yang disengajakan.
Tambah beliau, setiap parti yang memilih untuk bersama kerajaan memikul tanggungjawab keinstitusian dan moral untuk memelihara kestabilan pentadbiran demi kepentingan rakyat.
“ABIM turut mengingatkan polemik politik yang berlarutan di peringkat pusat berpotensi menjejaskan kelancaran pentadbiran di peringkat negeri, khususnya dari segi penyelarasan dasar, pelaksanaan pembangunan dan keyakinan rakyat, yang akhirnya tidak wajar dijadikan mangsa percaturan kuasa,” katanya.
Dalam masa sama, ujarnya, ABIM berpandangan usaha membina kekuatan politik Melayu Islam tidak boleh terpisah daripada kerangka keadilan, tadbir urus baik dan tanggungjawab nasional.
Kata beliau, politik yang disempitkan kepada penyatuan identiti semata-mata berisiko mengabaikan realiti masyarakat majmuk dan cabaran kosmopolitan dunia hari ini.
Tambahnya, bangsa Malaysia wajar dibina melalui keadilan institusi, integriti kepimpinan dan keupayaan mentadbir untuk semua, bukan melalui percaturan kuasa jangka pendek.
“Keutamaan negara hari ini ialah pemulihan ekonomi, keadilan sosial, pengukuhan institusi dan pembinaan Bbangsa Malaysia yang inklusif, di bawah kepimpinan kerajaan yang sah dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Segala perbezaan politik wajar disalurkan melalui proses demokrasi yang matang, beretika dan bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette
















