KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan secara dasarnya telah bersetuju untuk mula menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bermula 1 Januari lalu, sebagai tambahan kepada denda sedia ada bagi kesalahan membuang sampah merata-rata atau dari kenderaan di bawah Akta 171 dan Undang-Undang Kecil PBT.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, melalui pindaan di bawah seksyen 73(1)(a)(ii) Akta 171 itu, pesalah yang disabitkan dengan hukuman itu perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat hingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan.
Ujarnya, Perintah Khidmat Masyarakat itu merangkumi aktiviti berkaitan kebersihan antaranya mengutip sisa pepejal, mencuci, memotong rumput dan membersihkan sarang labah-labah.
“Penjadualan dan pengawasan akan ditentukan oleh pegawai yang diberi kuasa mengikut perintah mahkamah.
“Tindakan pesalah yang enggan, melawan, gagal mematuhi, atau melarikan diri daripada Perintah Khidmat Masyarakat pula merupakan satu kesalahan berasingan di bawah peruntukan undang-undang yang dipinda,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Hilmi, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat bertujuan mendidik dan menanam kesedaran, tanggungjawab serta rasa hormat terhadap kebersihan alam sekitar.
Selain itu, ujarnya, ia juga bertujuan menghargai majoriti rakyat yang sentiasa menjaga kebersihan secara menghukum kepada segelintir rakyat yang masih degil dan gagal untuk mematuhi peraturan dalam menjaga kebersihan.
Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 akan dikuatkuasakan bermula hari ini sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Akta itu terpakai di Johor; Melaka; Negeri Sembilan; Pahang; Perlis dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi Pulau Pinang; Selangor; Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaan perintah berkenaan akan bermula secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.
KPKT memaklumkan, selain Perintah Khidmat Masyarakat, pesalah juga boleh dikenakan denda antara RM2,000 dan RM10,000 bagi kesalahan sama. – MalaysiaGazette
















