Kim Jong Un

SEOUL – Korea Utara telah melancarkan sebuah peluru berpandu balistik di luar pantai timurnya pada hari Ahad, menurut kenyataan pihak tentera Korea Selatan.

“Pihak Utara telah melancarkan sebuah peluru berpandu balistik yang tidak dikenal pasti ke arah Laut Timur,” katanya, merujuk kepada perairan yang juga dikenali sebagai Laut Jepun.

Kementerian Pertahanan Jepun turut memaklumkan mereka mengesan kemungkinan pelancaran peluru berpandu balistik, yang mendarat di lokasi yang tidak dinyatakan sekitar jam 8.08 pagi (2308 GMT Sabtu).

Korea Utara kali terakhir mengadakan ujian peluru berpandu balistik pada November, selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meluluskan rancangan Korea Selatan untuk membina sebuah kapal selam berkuasa nuklear.

Pyongyang telah meningkatkan ujian peluru berpandu dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penganalisis berkata, usaha ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan serangan tepat, mencabar Amerika Syarikat serta Korea Selatan, dan menguji senjata sebelum berkemungkinan mengeksportnya ke Rusia.

Pyongyang juga dijadualkan mengadakan kongres penting parti pemerintahnya dalam beberapa minggu akan datang = yang pertama dalam tempoh lima tahun.

Dasar ekonomi, serta perancangan pertahanan dan ketenteraan, dijangka menjadi antara agenda utama.

Menjelang persidangan tersebut, pemimpin Kim Jong Un mengarahkan “pengembangan” dan pemodenan pengeluaran peluru berpandu negara itu serta pembinaan lebih banyak kilang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Pada hari Ahad, media rasmi melaporkan Kim telah mengadakan lawatan ke sebuah kemudahan yang terlibat dalam pembuatan senjata berpandu taktikal.

Beliau juga mengarahkan supaya kapasiti pengeluaran semasa diperluaskan sebanyak 250 peratus, menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) yang dikendalikan kerajaan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast