BUKIT MERTAJAM – Taktik sindiket pengedaran dadah menyembunyikan syabu dalam bentuk cecair vape terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Minyak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah SPT kira-kira 10.20 malam itu turut membawa kepada rampasan kira-kira 4.5 liter cecair disyaki syabu dengan anggaran berat 4.5 kilogram bernilai RM45,500.
“Dadah berkenaan ditemui di dalam 130 unit kartrij vape lutsinar yang dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan. Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak dua bulan lalu dan menggunakan kaedah pengedaran cecair vape bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Semakan juga mendapati lelaki berusia 45 tahun itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah serta sembilan rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Helmi, polis turut menyita dua buah kereta serta pelbagai barangan kemas dianggarkan bernilai RM429,500 dalam serbuan tersebut.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Januari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















