Ayob Khan (dua dari kanan) menyertai acara kayuhan berbasikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 di Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan kawalan keselamatan di seluruh negara khususnya di kawasan tumpuan pelancong dipertingkatkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada rutin operasi polis ketika musim perayaan, acara berskala besar dan tempoh puncak pelancongan.

“Ini memang rutin kita. Setiap kali musim perayaan, tahun baharu atau acara besar, kita akan meningkatkan kawalan keselamatan.

Ayob Khan.

“Tambahan pula tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia 2026, maka (kawalan keselamatan) ini memang rutin dan orang ramai tidak perlu bimbang.

“Insya-Allah.. Isu keselamatan akan dipantau dan jika perlu, tindakan akan diambil,” katanya ketika diminta mengulas sama ada pihak polis akan menambah rondaan di kawasan tumpuan pelancong sepanjang TMM2026.

Terdahulu, Ayob Khan menyertai acara kayuhan berbasikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 di sini malam tadi.

Pelepasan rasmi kayuhan disempurnakan oleh Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail.

Media pada 1 Januari lalu melaporkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMM 2026) secara rasminya membuka tirai dengan perasmian dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan pusat beli belah Pavilion Bukit Bintang.

Susulan itu, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar, “| LITE U” yang berlangsung dalam majlis gilang gemilang di Bukit Bintang.

Anwar ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata, sektor pelancongan berkembang dan berjaya kerana negara  aman sejahtera dalam keadaan rakyat pelbagai kaum hidup sentosa.

Kempen TMM2026 digerakkan berteraskan lima tonggak utama iaitu kelestarian, warisan budaya, pengembaraan berasaskan alam semula jadi, inovasi digital dan keterhubungan global, sebagai persediaan menyeluruh Malaysia menyambut kedatangan pelancong sepanjang 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast