KUALA LUMPUR – Selepas 22 tahun, pelakon dan penyanyi, Abby Abadi mendedahkan telah menerima bayaran mas kahwin yang tertangguh daripada bekas suaminya, Norman Hakim.
Pelakon itu menerusi media sosial meluahkan rasa syukurnya terhadap kerelaan Norman berbuat demikian tanpa diminta.
“Cuma nak maklum, berkat kesabaran selama 22 tahun ini. Rezeki saya, tetap rezeki saya. Alhamdulillah,” tulisnya.
Selain itu, pelakon itu turut merakamkan penghargaan kepada suaminya, Faizal Zakaria dan Memey yang sama sekali tidak campur tangan urusan berkenaan.
“Dengan tenangnya, saya kongsi serba sikit biar semua tahu, yang ini dah selesai setelah 22 tahun ya. Terima kasih suami dan Memey tak pernah campur urusan yang tertangguh ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam pada itu, Abby atau Arbaiyah Abdul Manan berkata, masih ada tuntutan lain yang belum dilunaskan oleh Norman.
Jelasnya, ia melibatkan nafkah sepanjang pernikahan mereka sebelum ini.
“Yang saya tuntut nafkah makan minum tempat tinggal untuk 18 tahun panjang lagi cerita. Ini duit mas kahwin,” tulis Abby di ruangan komen seorang netizen.
Abby dan Norman pernah mendirikan rumah tangga pada 2002 namun berpisah tujuh tahun kemudian.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish, Marissa Dania dan Danisha Hakim.
Kemudian, Norman mendirikan rumah tangga bersama Memey pada 2011 dan Abby pula mendirikan rumah tangga dengan Faizal pada 2015.- MalaysiaGazette
















