KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DASPSY) Pahang mengecam keras kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dengan menggunakan retorik perkauman untuk menghasut rakyat.

Timbalan Ketua DAPSY Pahang, Thui Zhi Yong mendakwa masyarakat umum tertanya-tanya kenapa Akmal masih memegang jawatan Exco dalam Kerajaan Perpaduan Melaka, sedangkan melakukan desakan kuat untuk UMNO menjadi pembangkang.

Sekiranya Akmal begitu berkeras untuk keluar kerajaan, Akmal wajar membuktikan kewibawaan sebagai pemimpin muda untuk meletakkan jawatan exco.

“Sehubungan itu, DAPSY Pahang mencabar Akmal untuk meletakkan jawatan Exco Melaka serta merta, dan bukan sekadar bercakap kosong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, Akmal telah berulang kali menimbulkan krisis dan keresahan rakyat, umpama “nila setitik, rosak susu sebelanga”.

Beliau mengungkit, dalam pelbagai isu seperti isu stokin, sandwich, isu bendera terbalik, Akmal berulang kali melampaui batas.

Akmal, kata Zhi Yong lagi, sering bertindak menjadi polis moral dan hakim dengan mengugut orang lain sesuka hati dan mengeluarkan kenyataan yang berbaur kontroversi dan perkauman.

Kini, Akmal menggunakan naratif perkauman dan slogan “perpaduan Melayu” secara sesuka hati bagi mendesak UMNO keluar kerajaan.

“DAPSY Pahang berpendapat Akmal sering tampil dengan gaya samseng jalanan yang mencabar ketenteraman awam, malah kini telah menyeru secara terbuka untuk bekerjasama dengan Pas.

“Pendiriannya membuktikan Akmal memang merupakan ejen PN dan jelasnya bercanggah dengan struktur Kerajaan Perpaduan,” dakwa beliau lagi.

DAPSY Pahang juga, katanya, menegaskan tindakan samseng, hipokrasi, politik kebencian dan perpecahan yang dimainkan Akmal sudah cukup membuktikan beliau seorang ahli politik gagal dan bercanggah sama sekali dengan nilai teras yang diperjuangkan oleh DAP.

Justeru, DAPSY Pahang mendesak agar DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan hubungan sepenuhnya dengan Akmal.

Ia kerana, katanya, misi Kerajaan Perpaduan adalah menjamin kestabilan politik dan mempertahankan kepelbagaian dan keharmonian, bukannya membiarkan segelintir ahli politik ekstrem menggugat ketenteraman dan perpaduan negara.

Tambah beliau, Pahang merupakan salah satu negeri terawal yang membentuk Kerajaan Perpaduan, dan kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional adalah lancar sehingga kini.

Lantaran itu, katanya, meneruskan kerjasama dengan Akmal hanya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap kestabilan dan keikhlasan kerajaan perpaduan, sekali gus menggugat keyakinan rakyat.

“Seorang ahli politik yang bergantung pada retorik perkauman dan kebencian seperti Akmal tidak boleh lagi diberi ruang, apatah lagi terus mengikat kerajaan perpaduan dengan imej buruknya.

“DAPSY Pahang menegaskan hanya dengan mengambil langkah berani memutuskan hubungan dengan Akmal, Kerajaan Perpaduan mampu bergerak lebih mantap serta mengembalikan keyakinan rakyat berbilang kaum terhadap pentadbiran kerajaan yang kompeten, progresif, dan berteraskan tatakelola baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast