KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan terhadap seorang guru agama warganegara Indonesia atas dua kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki, tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar memerintahkan Kumpul, 40, dipenjara empat tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan.
Guru berkenaan yang mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan diperintah menjalani hukuman secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 25 Disember tahun lalu.
“Tertuduh juga diperintahkan menjalani khidmat kaunseling selama tempoh pemenjaraan serta menjalani pengawasan polis selama dua tahun setelah selesai menjalani hukuman penjara,” kata hakim itu.
Mahkamah turut memerintahkan mangsa yang kini berusia 11 tahun menjalani sesi kaunseling dan ditempatkan di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga agensi itu berpuas hati bahawa kanak-kanak berkenaan dipulihkan.
Pada pertuduhan pertama, Kumpul didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 3 petang, pada April 2024 di bilik rehat guru sekolah berkenaan di sini.
Tuduhan kedua pula, guru berkenaan didakwa melakukannya terhadap murid itu pukul 3 petang sekitar bulan November lalu dalam kelas di sekolah yang sama.
Guru agama tersebut didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen 14(a) memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan minimum dua sebatan.
Menurut fakta kes, Kumpul mengaku mengajak mangsa memasuki kedua-dua bilik tersebut dan melakukan amang seksual fizikal terhadapnya selepas semua pelajar masuk ke kelas tambahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa seorang kanak-kanak dan perbuatan tersebut menimbulkan kesan psikologi terhadap mangsa dan ia tidak boleh dipandang remeh.
“Tertuduh merupakan seorang guru yang mengajar mata pelajaran al-Quran, akidah dan fekah. Tertuduh sepatutnya bertanggungjawab menjaga serta melindungi mangsa.
“Perlakuan berulang tertuduh telah menyebabkan trauma kepada mangsa sekaligus meningkatkan risiko psikologi jangka panjang dalam kehidupan mangsa.
“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon agar hukuman untuk kedua-dua pertuduhan ini dijalankan secara berasingan,” katanya.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan selain meminta maaf dengan perbuatannya.
“Saya minta maaf pada semua kerana tidak boleh control (kawal) nafsu sendiri kerana tak dapat hubungan dengan isteri sendiri. Saya sepatutnya tidak melakukan perbuatan ini, saya menyesal,” katanya. – MalaysiaGazette
















