KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak pernah menyisihkan golongan berpendapatan tinggi atau T20 dalam pengagihan bantuan yang disediakan oleh agensi terbabit.
Namun, menurut Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, keutamaan adalah untuk memastikan nasib golongan miskin, yatim dan berpendapatan sederhana benar-benar terbela terlebih dahulu.
Ujarnya, dalam bidang keusahawanan, Mara membuka peluang seluas-luasnya kepada semua bumiputera mengikut keupayaan.
Sementara itu, jelas beliau, dalam bidang pendidikan pula, keutamaan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana selari dengan asas penubuhan Mara.
“Saya tidak rela mendengar ada anak bangsa yang tercicir atau tertangguh pengajian hanya kerana tidak mampu atau punya kekangan kewangan.
“Jika kita nak melihat perubahan kepada anak bangsa, hanya ilmu pengetahuan sahaja yang boleh merubah kehidupan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, tumpuan Mara itu juga selari dengan hasrat kepimpinan UMNO terdahulu apabila mengilhamkan dan mengasaskan penubuhan agensi tersebut.
“Insya-Allah agenda inilah yang sedang saya teruskan,” katanya. – MalaysiaGazette
















