Amalan merokok bahaya untuk kesihatan.

KUALA LUMPUR – Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) melahirkan kebimbangan serius terhadap dakwaan rasuah terkini yang dikaitkan dengan usaha untuk melemahkan atau menggugat dasar kawalan tembakau di Malaysia.

Walaupun dakwaan sedemikian perlu disiasat melalui saluran undang-undang yang sewajarnya, ia tidak boleh dieksploitasi untuk menjejaskan atau mendiskreditkan pelaksanaan undang-undang kesihatan awam yang berkesan.

Presiden MCTC, Dr. Murallitharan berkata, sama ada benar atau direka, negara ini tidak boleh membenarkan dakwaan, tekanan atau ugutan mengalihkan perhatian negara daripada isu sebenar, iaitu melindungi kesihatan awam melalui undang-undang kawalan tembakau yang kukuh dan boleh dikuatkuasakan.

Menurutnya, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) merupakan undang-undang kawalan tembakau pertama yang berdiri sendiri dan bersifat komprehensif di Malaysia, merangkumi produk tembakau, vape dan semua produk nikotin berkaitan di bawah satu rangka perundangan.

Undang-undang bersejarah ini mencerminkan puluhan tahun pembangunan dasar berasaskan bukti serta komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC).

“Akta 852 tidak digubal dalam sekelip mata. Ia adalah hasil bukti kesihatan awam yang kukuh, amalan terbaik global, serta tanggungjawab Malaysia untuk melindungi rakyatnya, khususnya kanak-kanak daripada ketagihan nikotin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MCTC sekali lagi menegaskan semua pihak berkepentingan mesti kekal komited untuk memastikan kejayaan pelaksanaan Akta 852, walaupun berdepan tekanan berterusan daripada pemain industri dan kumpulan berkepentingan tertentu yang berusaha melemahkan impaknya.

Tegas beliau, keberkesanan kawalan tembakau bergantung kepada penguatkuasaan yang konsisten dan saksama di seluruh negara.

Pelaksanaan yang lemah atau terpilih berisiko menjadikan undang-undang tidak berkesan serta menjejaskan keyakinan orang awam.

“Pelaksanaan mesti seragam. Produk tembakau dan nikotin tidak memudaratkan orang secara terpilih, dan penguatkuasaan juga tidak boleh bersifat terpilih,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik keterbukaan menteri kesihatan untuk mempertimbangkan larangan paparan runcit, iaitu langkah terbukti berkesan di peringkat antarabangsa dalam mengurangkan keterlihatan produk, pembelian impulsif dan permulaan penggunaan dalam kalangan belia.

Jelasnya, MCTC menyokong pelaksanaan penilaian impak menyeluruh terhadap Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menilai aspek penguatkuasaan, pematuhan dan hasil kesihatan awam.

Namun demikian, Dr. Murallitharan mengingatkan kawalan tembakau di Malaysia masih mempunyai “tugasan belum selesai” kerana peraturan terdahulu membenarkan pengecualian dan ruang kelabu, khususnya di kawasan larangan merokok yang ditetapkan.

Jurang ini mesti ditangani secara tegas bagi mencapaiobjektif utama kawalan tembakau, iaitu elindungi orang awam daripada kemudaratan pendedahan kepada asap tembakau; mengurangkan prevalens merokok selaras dengan sasaran penamatan tembakau; dan melindungi kanak-kanak daripada penormalan serta pengaruh tabiat merokok orang dewasa di ruang awam.

Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada laluan pejalan kaki awam, pusat bandar dan kawasan bandar berkepadatan tinggi, termasuk di Kuala Lumpur dan kawasan awam lain, yang mana pematuhan larangan merokok masih lemah dan pendedahan orang awam kepada asap rokok terpakai terus berlaku.

Bagi melindungi dasar awam daripada campur tangan industri, MCTC mencadangkan penggubalan kod tata kelakuan rasmi yang mengawal interaksi antara kerajaan dengan industri tembakau dan nikotin, selaras dengan Artikel 5.3 WHO FCTC; penanda aras berterusan terhadap langkah kawalan tembakau Malaysia berbanding piawaian kesihatan awam antarabangsa; dan
semakan harga jualan minimum bagi semua produk nikotin, termasuk rokok konvensional, produk tembakau dipanaskan dan produk vape sejajar dengan sebarang kenaikan cukai eksais, bagi mengelakkan kemampuan membeli daripada menjejaskan
objektif kesihatan.

“Dasar cukai sahaja tidak mencukupi jika produk masih mampu dibeli. Harga dan akses mesti ditangani secara serentak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast