KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan trend sebagai penjual bersih ekuiti domestik untuk minggu keempat berturut-turut, dengan aliran keluar berjumlah -RM904.0 juta minggu lalu, 65% lebih besar berbanding minggu sebelumnya.
Bursa Malaysia ditutup pada hari Khamis sempena cuti Tahun Baharu.
MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada hari Rabu (-RM270.0 juta), diikuti Selasa (-RM261.7 juta), Jumaat (-RM232.4 juta), dan Isnin (-RM140.0 juta).
Menurutnya, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing ialah telekomunikasi & media (RM16.6 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (RM14.8 juta), dan teknologi (RM8.1 juta).
Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (-RM482.8 juta), utiliti (-RM258.2 juta), dan perladangan (-RM75.9 juta).
Pelabur istitusi tempatan mencatatkan pembelian bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM924.1 juta minggu lalu.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan merupakan penjual bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak -RM20.0 juta minggu lalu. – MalaysiaGazette















