PONTIAN – Polis menyita sebuah lori selepas melanggar bahagian belakang bucket atau timbaunya tidak diturunkan sehingga melanggar tiang lampu isyarat di Kilometer 44, Jalan Johor Bahru–Batu Pahat, Pekan Nanas di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussien berkata, sitaan dilakukan selepas pemandu lori berusia 53 tahun itu tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

“Kejadian berlaku pukul 2.50 petang tadi apabila lori yang dipandu lelaki tempatan itu dipercayai melalui persimpangan lampu isyarat dari arah Pontian ke Pekan Nanas tanpa disedari bucket kenderaan berada dalam keadaan terangkat.

“Akibatnya, bucket lori berkenaan telah melanggar tiang lampu isyarat. Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Hadzrat, hasil pemeriksaan awal mendapati punca kejadian dipercayai berpunca daripada masalah teknikal kenderaan.

Pihaknya sudah melawat lokasi kejadian, mengambil gambar serta melakar rajah kasar bagi membantu siasatan.

“Rakaman percakapan pemandu dan majikan akan diambil dalam masa terdekat, manakala lori yang terlibat telah disita bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, saringan awal air kencing terhadap pemandu mendapati keputusan negatif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast