Nur Syazwani menunjukkan Foto abangnya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Penantian adik kepada seorang daripada dua nelayan yang hilang selepas terjatuh dalam laut berakhir apabila mayat abangnya ditemui hari ini selepas empat hari operasi mencari.

Nur Syazwani Ahmad, 34, bersyukur kerana mayat abangnya, Mohd. Saiful Azli Ahmad, 45, selepas dia dan ahli keluarga lain selama empat hari ‘berkampung’ di Jeti Sungai Tongkang Rengit di sini.

Dia berkata, doanya dimakbulkan selepas jasad abangnya berjaya ditemui selepas dia dan ahli keluarganya mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat.

“Saya, ibu Khatijah Rahindi (berusia 74 tahun) dan ahli keluarga ke jeti setiap hari. Kami berharap abang akan ditemui, walau cuma jasadnya sahaja yang ‘pulang’. Alhamdulillah, penantian kami sudah berakhir.

“Saya masih teringat detik terakhir bersama abang pada Jumaat lalu di mana abang sempat masak juadah udang goreng untuk kami sekeluarga,” katanya ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail di sini hari ini.

Sabtu lalu, Mohd. Saiful Azli dan Mohd. Fadzli Misran, 41, hilang di perairan Sungai Dulang, Rengit selepas keluar memeriksa bubu udang serta memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang pada pukul 6 petang, Jumaat lalu.

Kehilangan kedua-dua lelaki itu disedari penduduk apabila bot mereka naiki ditemukan bersama joran dan bubu.

Mohd. Saiful Azli ditemukan seorang nelayan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat di perairan Pantai Sarang Burung pukul 9.16 pagi tadi.

Bercerita lanjut, Nur Syazwani berkata, jasad abangnya masih berkeadaan elok dengan masih lengkap berpakaian.

“Wajah abang pula kelihatan cantik walaupun terlalu lama berendam dalam air. Terdetik dalam hati saya, apa amalan abang lakukan? Abang belum berkahwin tetapi cukup menyayangi empat orang anak saudaranya.

“Dia ada bela kucing dan membela anak saudaranya yang autisme dan juga pernah menjaga nenek sehingga akhir hayatnya,” katanya.

Seorang lagi adik arwah, Nur Syaza Lina, 40, memaklumkan, dia diberitahu mengenai penemuan jasad abangnya di Pantai Sarang Burung oleh pasukan penyelamat sebelum bergegas ke lokasi.

“Saya ke lokasi dan bila disahkan jasad itu adalah abang, saya terus duduk dan sujud syukur. Sebaik melihat abang, saya menyebut ‘Allahuakbar’.

“Saya diminta oleh pasukan penyelamat untuk pengesahan dan saya nampak abang masih lengkap berpakaian sambil memakai beg di pinggang. Saya tengok kad pengenalan dan telefon bimbit masih elok,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, operasi mencari dan menyelamat mengesan Mohd. Fadzli masih giat dilakukan pasukan penyelamat dari pelbagai agensi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast