KUALA LUMPUR – Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31 yang baharu berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Pelantikan Azhan bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang kini diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan melibatkan beliau.
Pelantikan Azhan juga selaras keputusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) Ke-631 pada 19 November tahun lepas dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Disember.
Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Darat telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini di Wisma Pertahanan, sekali gus menandakan permulaan rasmi tanggungjawab beliau menerajui Tentera Darat Malaysia (TDM).
Azhan memiliki latar belakang kepimpinan serta pengalaman luas dalam perkhidmatan ketenteraan, diyakini mampu memastikan kesinambungan kepimpinan TDM, di samping memperkukuh kesiapsiagaan angkatan darat sebagai teras utama pertahanan negara.
Dalam ucapannya, Azhan berkata, beliau menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong serta merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan.
Beliau turut menegaskan aspek integriti, tadbir urus yang telus serta pembudayaan nilai-nilai ketenteraan yang luhur akan terus diperkukuh sebagai teras kepimpinannya, selari dengan inisiatif strategik Angkatan Masa Hadapan Strategi Domain Daratan (AMH–SD2) yang mendokong aspirasi Kertas Putih Pertahanan.
Selain itu, agenda kesejahteraan anggota dan keluarga Tentera Darat akan terus dilestarikan bagi memastikan kebajikan warga TDM sentiasa terpelihara.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga Tentera Darat Malaysia agar menyatukan tekad, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan prestasi supaya terus mara sebagai angkatan pertahanan yang profesional, berkeupayaan dan diyakini rakyat. – MalaysiaGazette
















