KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 bilion di bawah dananya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan tumpuan penyaluran kepada peminjam kali pertama.
Menurutnya, setakat ini, BNM telah menyediakan pembiayaan konsesi sebanyak RM32.4 bilion bagi menyokong akses pembiayaan PKS melalui institusi kewangan peserta, khususnya perusahaan mikro dan kecil yang berdaya maju namun menghadapi kekangan pembiayaan.
Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan di bawah Dana BNM kepada RM34.9 bilion.
Skim ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad dan institusi kewangan.
Pada masa hadapan, BNM akan beralih kepada sokongan berasaskan jaminan dengan sasaran pembiayaan yang dijamin sebanyak RM10 bilion.
Peralihan kepada skim jaminan kredit bertujuan untuk menghasilkan impak yang lebih tinggi menerusi manfaat kepada segmen PKS yang lebih luas, termasuk peminjam kali pertama dan aktiviti keusahawanan baharu. – MalaysiaGazette
















