Logo Perkeso

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan supaya National Health Insurance Trust (NHIT) diberikan kuasa penuh sebagai badan pusat perlindungan kesihatan negara.

Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, NHIT perlu mengurus caruman bersama-sama majikan dan kerajaan, memastikan liputan kesihatan menyeluruh kepada semua pekerja sektor formal, mengawal caj rawatan swasta supaya tidak melambung serta menjamin premium kekal mampu dibayar rakyat.

“Model ini boleh mencontohi sistem BPJS Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) di Indonesia dan Universal Coverage Scheme (UCS) di Thailand yang terbukti berjaya melindungi rakyat daripada kos rawatan yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin Adan

Beliau berkata, dalam konteks pelaksanaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempunyai infrastruktur sedia ada yang sesuai untuk dijadikan platform asas kepada NHIT.

Skim itu ujarnya, boleh melibatkan caruman tiga pihak iaitu majikan, kerajaan dan pekerja bagi memperkukuh liputan.

Liputan asas wajib perlu merangkumi rawatan pesakit luar, kemasukan ke hospital awam, ubat asas dan perlindungan minimum penyakit kritikal, manakala pilihan tambahan boleh ditawarkan kepada pekerja yang mahukan perlindungan lebih menyeluruh.

“Audit serta kawalan kos oleh NHIT atau Perkeso juga penting bagi memastikan caj rawatan swasta terkawal dan premium kekal berpatutan. Kesihatan bukan satu kemewahan, sebaliknya hak asas rakyat.

“Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada sistem perlindungan kesihatan yang terpecah dan tidak terkawal,” katanya.

Zainuddin berkata, dengan memperkasakan NHIT dan menggunakan Perkeso sebagai platform insurans berkumpulan akan boleh memastikan rakyat mendapat perlindungan asas, mengurangkan kesesakan hospital awam, mengawal caj hospital swasta, mengekalkan premium yang mampu dibayar serta mengurangkan beban fiskal kerajaan dalam jangka panjang.

“Jika langkah ini terus ditangguhkan, rakyat akan terus terjerumus ke dalam kemiskinan kesihatan, sementara keuntungan korporat terus melonjak,” katanya.

Tambahnya, langkah tersebut adalah perlu kerana caj melampau hospital swasta kini semakin menekan hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast