Dr Sariman Abu Bakar bercakap pada sidang media bersama Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mengenai isu membabitkan Presiden PUSPAHANAS Laksamana Madya Datuk Sabri Zali di Restoran Syed Bistro, Jalan Dang Wangi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 06 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mendakwa suami kepada wanita yang dikaitkan ada hubungan dengan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini tampil membuat penjelasan.

Dr Sariman Abu Bakar berkata, penjelasan itu bagi menjelaskan kedudukan sebenar dirinya susulan penyebaran gambar melibatkan isterinya, Datuk Seri Dasyarina Sarilah Daud bersama pegawai kanan ATM terbabit.

Sariman mendakwa beliau adalah suami sah kepada Dasyarina Sarilah selepas pasangan itu bernikah di luar negara pada 25 Februari tahun lalu dengan pernikahan disempurnakan oleh bapa mentuanya sendiri, Daud Taib.

“Saya bukan hendak mengaibkan sesiapa namun saya terpanggil bagi menjelaskan kedudukan sebenar dan menuntut keadilan buat diri saya,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Sebelum ini, Dasyarina Sarilah tampil membuat kenyataan penafian berhubung dakwaan tular mengaitkan dirinya dengan seorang pegawai kanan tentera.

Dasyarina Sarilah berkata, penjelasan itu dibuat secara sukarela bagi membersihkan nama, keluarga dan syarikatnya.

Menurutnya, hubungan beliau dengan individu yang dinamakan dalam hantaran itu hanya sebagai rakan dan kenalan golf serta tidak mempunyai kaitan dengan urusan peribadi.

Dalam pada itu, Sariman mendakwa beliau dan isterinya sebelum itu bersama-sama terlibat dalam pelbagai urusan perniagaan termasuk melibatkan kerja-kerja berkaitan ketenteraan dan sejak itu isterinya berkenalan dengan pegawai ATM terbabit.

Bagaimanapun, Sariman mendakwa sikap isterinya berubah selepas mengenali individu berkenaan mendorong beliau membuat siasatan sendiri sehingga menemui mesej berunsur ‘bermanja’ termasuk panggilan sayang dalam komunikasi antara kedua-duanya.

Beliau mendakwa, pada peringkat awal, beliau telah menghubungi pegawai ATM berkenaan bagi mendapatkan penjelasan namun keadaan tidak berubah menyebabkannya mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan (LOD) yang didakwanya tidak dibalas.

Beliau turut memaklumkan selepas pendedahan dibuat oleh aktivis politik yang dikenali sebagai Chegubard, beliau mengesahkan bahawa seperti gambar, rakaman CCTV dan dokumen berkaitan adalah tulen.

“Saya telah membuat laporan polis bernombor AMPANG/023551/25 namun sehingga kini tiada tindakan diambil. Saya tertanya-tanya adakah kerana beliau seorang jeneral berbintang maka dilindungi,” katanya.

Sariman berkata, berdasarkan pengetahuannya, perbuatan yang didakwa itu boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 498 serta kemungkinan kesalahan lain selain tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972.

“Tujuan saya tampil ini hanyalah untuk menuntut keadilan. Saya bukan orang undang-undang, saya hanya seorang lelaki biasa yang berasa terhina dan mahu kebenaran ditegakkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Perempuan jalang.. dah ada suami pun masih ‘bermanja’ dgn jantan lain.. tentera pun tak tau malu.. bini orang plak ko pegi rembat… memalukan sungguh ATM ni

Comments are closed.