Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) di Sungai Jarom, Jenarom, Kuala Langat, pada Selasa.

KUALA LANGAT – Tiga warganegara Singapura antara 120 individu yang dikenakan tindakan kompaun RM2,000 dan Perintah Khidmat Masyarakat kerana didapati melakukan kesalahan membuang sampah di tempat awam baru-baru ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kesemua mereka akan didakwa di mahkamah setelah mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

“Tadi saya dapat maklumat daripada SW Corp, sekarang ada 120 orang sudah kena tangkap, mereka akan didakwa di mahkamah. Semalam ada lima orang dekat Johor Bharu, tiga orang rakyat Singapura, dia ingat dia jaga kebersihan dekat Singapura, masuk Johor Bharu terus buang.

“Dulu boleh (buang sampah), sekarang tak boleh, kita nak Singapura bersih, Malaysia lagi bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Sentuhan Kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) di Sungai Jarom, Jenarom hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) di Sungai Jarom, Jenarom, Kuala Langat hari ini.

Bermula 1 Januari 2026, Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di bawah Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) dikuatkuasakan sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat-tempat awam.

Hukuman dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan sama.

Pelaksanaan hukuman PKM melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mengulas lanjut, Kor Ming memberitahu, sebelum PKM Masyarakat dikuatkuasakan, SW Corp mengutip sebanyak empat metrik tan sampah di sekitar Bukit Bintang sebelum perayaan Hari Krismas.

“Sebelum Hari Krismas di Bukit Bintang, waktu itu Akta Khidmat Masyarakat belum kuatkuasa, orang buang sampah semberono. Selepas ambang Tahun Baharu 2026, saya arahkan pekerja-pekerja pembersihan kita, satu malam kita bersihkan hampir 4,000 kilogram sampah orang buang,” katanya.

Sehubungan itu, Kor Ming berkata, SW Corp diberi arahan agar mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang membuang sampah kerana hukuman berat menanti mereka.

“Dengar baik-baik, kita tangkap sama dia, lepas itu kita bagi uniform baharu, jaket hijau, kita minta dia bersama dengan pekerja-pekerja majlis perbandaran cuci longkang, sapu jalan, potong rumput dan cuci tandas.

“Mereka boleh dihukum kompaun RM2,000 sehingga RM10,000. Siapa yang kaya nak bagi sumbangan kepada kerajaan, bolehlah buang sampah tapi itu kena bayar RM10,000 lepas itu kena bantu pekerja kita,” katanya.

Menariknya kata Kor Ming, selepas Program Inovasi Pencahayaan I Lite U sebagai acara pembukaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dilancarkan di Bukit Bintang pada 3 Januari lalu, kawasan itu bersih tanpa sampah-sarap.

“Hari itu kita buat I Lite U dekat Bukit Bintang, hampir 30,000 orang hadir tapi lepas orang bersurai, tak ada sampah lepas penguatkuasaan.

“Ini menunjukkan bagai kata orang Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, tak payah cakap banyak, ini sudah abad ke-21.

“Jika masih buang sampah, balik hutan sahajalah, duduk dalam hutan, jangan duduk dalam Jenjarom, sebab Jenjarom ini kampung bahagia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast