KUALA LUMPUR – Semua pihak di dalam UMNO diseru bertenang dalam mendepani polemik yang timbul susulan gesaan Pemuda UMNO supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, ruang perlu diberikan kepada Presiden, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan kepimpinan parti untuk berbincang secara matang dan mencari penyelesaian terbaik demi masa depan parti.
Beliau turut melahirkan keyakinan setiap pemimpin yang diberi amanah di dalam parti itu mempunyai satu matlamat yang sama iaitu untuk melihat UMNO kembali kuat, bersatu dan menjadi pilihan rakyat.
“Tiada siapa yang mahu melihat UMNO hancur. Justeru, kekal tenang adalah langkah yang paling bijak. Berikan kepercayaan kepada kepimpinan dan biarlah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan datang menjadi medan menentukan hala tuju UMNO yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Armand Azha, sebagai bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, pandangannya jelas bahawa apa yang dibawa oleh Ketua Pemuda, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh adalah suara majoriti akar umbi di seluruh negara.
Ujarnya, Dr. Muhamad Akmal memegang amanah untuk membawa suara sayap Pemuda ke peringkat tertinggi parti iaitu peranan dan tanggungjawab yang seharusnya dimainkan oleh Ketua Pemuda UMNO.
“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri memahami perkara ini kerana beliau juga pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia suatu ketika dahulu dan terkenal sebagai pemimpin yang lantang dan tegas mempertahankan pendirian walaupun berdepan tekanan dan risiko.
“Itulah realiti dan tanggungjawab jawatan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, dalam situasi semasa, semua ahli dan pimpinan UMNO seharusnya kekal tenang dan berhemah tanpa perlu menyerang, memaki atau menghina mana-mana pihak.
Tegasnya, jawatan Presiden UMNO dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bukan amanah yang ringan dan setiap keputusan yang dibuat membawa implikasi besar kepada masa depan parti.
“Hakikatnya, apabila Ketua Pemuda bersuara dikatakan melawan, berdiam diri pula dikatakan lemah dan dikawal. Begitu juga Presiden, apabila berdiam diri dikatakan takut apabila bersuara dikatakan diktator.
“Inilah realiti politik yang sedang kita hadapi saling menuding jari dan berlumba mencari kesalahan.
“Persoalannya, adakah budaya serangan terbuka dan makian ini menguatkan UMNO di mata rakyat, atau sebaliknya?” soalnya. – MalaysiaGazette
















