PUTRAJAYA – Bekas Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia (PTD) bersama dua isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait projek perolehan tender tentera darat.
Ketiga-tiga mereka ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar jam 3.00 petang tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya pagi esok bagi permohonan reman.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang turut menegaskan bahawa semua pihak perlu menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Tambah beliau, SPRM komited untuk melaksanakan siasatan dengan penuh ketelusan dan profesionalisme.
Dalam pada itu, SPRM turut memaklumkan telah menahan sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah syarikat, pagi tadi.
Kedua-duanya direman tujuh hari bermula hari ini selepas permohonan SPRM dibenarkan Majistret di Mahkamah Putrajaya.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, proses siasatan dan merakam kenyataan bekas pegawai kanan angkatan tentera itu masih berjalan selepas lima jam beliau hadir ke SPRM.
Sebelum itu, pegawai kanan tentera berkenaan dilihat tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini pukul 3.10 petang tadi, bagi membantu siasatan berhubung kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Beliau hadir dengan menaiki kereta jenis BMW warna biru, berpakaian kemeja biru gelap dan memakai pelitup muka.
Tidak lama kemudian sebuah kereta berjenama sama warna putih tiba, dipercayai dinaiki peguam kepada pegawai kanan tentera itu.
Turut dilihat mengiringi kereta mewah berkenaan beberapa kereta dipercayai dinaiki pegawai SPRM. – MalaysiaGazette
Artkel berkaitan:-
Sudah lima jam, bekas panglima tentera belum tinggalkan Ibu Pejabat SPRM
Bekas PTD dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM bantu siasatan kes tender perolehan
















