Kenderaan yang dinaiki bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan tiba untuk memberikan keterangan berhubung kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 JANUARI 2026

PUTRAJAYA – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini petang ini dipercayai bagi membantu siasatan kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Beliau tiba pukul 3.10 petang dengan menaiki kereta jenis Mercedes Benz warna biru dan berkemeja biru gelap dengan memakai pelitup muka.

Pegawai kanan tertinggi TDM itu turut diiringi beberapa individu memasuki bangunan ibu pejabat SPRM.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik berkata, Muhammad Hafizuddeain diarah bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kes yang dikaitkan terhadap beliau.

Jawatan Muhammad Hafizuddeain kemudiannya diisi oleh Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, langkah itu bagi memberi ruang pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilapor membabitkan pegawai berkenaan.

Kenyataan itu tidak memperincikan kes membabitkan Muhammad Hafizuddeain, namun ia dipercayai susulan laporan bahawa SPRM mempergiatkan siasatan terhadap perolehan tentera.

Terdahulu, pada 23 Disember lalu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Difahamkan, siasatan awal SPRM tertumpu projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Sebelum itu, SPRM dilapor mengambil aduan dan merakam keterangan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Chegubard atau nama sebenar, Badrul Hisham Shaharin mengenai perincian maklumat yang beliau peroleh.

Chegubard mendakwa terdapat ‘aliran tunai besar’ dikesan dalam akaun bank seorang pegawai dan ahli keluarganya, yang disyaki berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.

Beliau merujuk kepada audit forensik dokumen yang diterimanya tanpa nama, mendakwa pegawai berkenaan menerima wang antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap bulan ke dalam akaun bank.

Dokumen berkenaan, dakwanya, turut menunjukkan pemindahan wang dalam jumlah lebih besar, mencecah ratusan ribu ringgit ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai terbabit.

Beliau juga mendakwa, dana itu dipindahkan daripada akaun syarikat-syarikat yang telah memperoleh projek ketenteraan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast