PUTRAJAYA – Proses siasatan dan merakam kenyataan bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, dipercayai masih berjalan setakat pukul 8 malam ini.
Sebelum itu, pegawai kanan tentera berkenaan dilihat tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pukul 3.10 petang tadi, bagi membantu siasatan berhubung kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Beliau hadir dengan menaiki kereta jenis BMW warna biru, berpakaian kemeja biru gelap dan memakai pelitup muka.
Tidak lama kemudian sebuah kereta berjenama sama warna putih tiba, dipercayai dinaiki peguam kepada pegawai kanan tentera itu.
Turut dilihat mengiringi kereta mewah berkenaan beberapa kereta dipercayai dinaiki pegawai SPRM.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Hafizuddeain yang sedang disiasat SPRM berkaitan aliran tunai besar dalam akaun bank miliknya hadir memberi keterangan hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai kanan tentera yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital sejak 28 Disember lalu, sudah pun dibenarkan keluar, semalam.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan, pegawai berkenaan dikehendaki memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada 28 Disember lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
Siasatan SPRM tertumpu kepada aliran wang yang disyaki masuk ke dalam akaun pegawai itu, yang kini disiasat sebagai suspek dalam satu kes rasuah membabitkan projek perolehan TDM.
Pada 29 Disember lalu, Azam memaklumkan, SPRM menyita enam akaun bank milik pegawai itu dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sementara itu, Azam memaklumkan, seorang daripada isteri suspek yang sudah ditahan SPRM, terpaksa dibawa semula ke hospital kerana mengalami tekanan darah tinggi. – MalaysiaGazette
















