KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyambut baik inisiatif Dapur Siswa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana inisiatif itu dapat meringankan beban kewangan dan kos sara hidup.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, inisiatif tersebut juga membantu meningkatkan tahap kesejahteraan mahasiswa.
Menurutnya, inisiatif Dapur Siswa Rumah Rezeki di peringkat HEPA UMT telah pun bermula sejak tahun lalu.
Namun, pengumuman bajet sebanyak RM15 juta oleh perdana menteri baru-baru ini akan dapat melonjakkan lagi usaha universiti membantu soal kebajikan pelajar dengan lebih baik dan berkesan.
Jelas beliau, faktor kewangan sebelum ini seringkali menjadi hambatan kepada kesejahteraan mahasiswa.
“Kajian Indeks Kesejahteraan Pelajar (IKP) yang dilaksanakan oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT menunjukkan kesejahteraan mahasiswa boleh terganggu jika mereka berhadapan dengan masalah kewangan termasuk soal makan dan minum serta kos sara hidup yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
















