SEGAMAT – Seramai 30 pelajar yang ditempatkan Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ), Bukit Katil, Melaka berpeluang menyertai Programme English With Angels yang dianjurkan mahasiswa semester akhir Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
Program ini merupakan sesi intervensi pendidikan bagi menarik minat pelajar-pelajar di KAYFAZ membantu mereka meminati dan memahami bahasa Inggeris.
Disertai oleh 21 mahasiswa APB, program yang diadakan pada 14 Disember lalu itu diisi dengan pelbagai segmen menarik dengan matlamat membina keyakinan diri mereka untuk bercakap menggunakan bahasa kedua tersebut.
Pendedahan interaktif diterapkan sepanjang program itu supaya pelajar-pelajar dapat berkomunikasi bahasa Inggeris dengan mudah, tanpa malu dan sabar.

Dengan menggunakan pendekatan ‘Learning Through Play’, para pelajar terbabit didedahkan dengan simulasi interaktif dan permainan bahasa untuk menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan, dinamik dan efisien.
Melalui pendekatan interaktif ini, para mahasiswa mampu meruntuhkan tembok kebimbangan mereka terhadap bahasa Inggeris, malah mewujudkan ruang pembelajaran tanpa tekanan.
Sepanjang program tersebut, setiap interaksi dijalankan secara santai tanpa terikat dengan struktur bilik darjah untuk membina keyakinan diri mereka.
Melalui kaedah ini, mahasiswa APB dapat membantu anak-anak ini mengatasi rasa rendah diri dan kepayahan ketika bertutur.
“Kami mahu menyuntik semangat mereka. Kami mahu para pelajar ini tahu bahawa latar belakang mereka bukanlah penghalang untuk menguasai bahasa dunia.
“Malah program ‘English With Angels’ adalah batu loncatan untuk mereka mencapai impian yang lebih tinggi,” kata Ketua Program, Ahmad Kamil Ahmad Fahmi.
Menariknya, sepanjang lima jam program berlangsung, pelajar-pelajar KAYFAZ sentiasa ceria dengan program-program yang disusun oleh mahasiswa APB.
Daripada sesi bercerita sehingga permainan bahasa, mereka cukup seronok untuk belajar tanpa sebarang tekanan.
“Lebih membanggakan kami apabila mereka tanpa segan meluahkan mahu program English With Angels ini diteruskan lagi, sekali gus mencerminkan usaha yang dicetuskan oleh kami ini mampu memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan, ” kata Ahmad Kamil. – MalaysiaGazette
















