KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuannya yang berusia lima tahun hingga mendatangkan pelbagai kecederaan.
Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh, Nurshazlina Izamli, 21, di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Nurshazlina tidak diwakili peguam mengenakan t-shirt dan seluar jeans, kelihatan tenang dan hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Redzuan.
Ketika prosiding, pendakwaan memohon supaya jaminan sehingga RM15,000 serta syarat lain dikenakan kepada tertuduh sepanjang perbicaraan ini.
Hakim kemudian bertanyakan kepada Nurshazlina andainya jumlah jaminan itu dapat dibayar namun tertuduh mohon wang itu dikurangkan tanpa memberikan apa-apa alasan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia, dan menetapkan 28 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penganiyaan terhadap anak perempuannya berusia lima tahun hingga mendatangkan kecederaan fizikal.pada 2 Januari lalu jam 5 petang di Jalan Sentul Pelangi.
Jika sabit salah bawah kesalahan Sesyen 31 (1) (A)Akta Kanak-Kanak 2001, tertuduh boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-dua sekali.
Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun diselamatkan selepas disyaki didera oleh ibu kandungnya hingga cedera parah di sebuah kediaman di Sentul, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Kanak-kanak itu diselamatkan selepas pihak polis menerima laporan pada jam 10.53 malam, hari sama.
Hasil pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian kepala, telinga, mata, badan, tangan dan kaki.
Mangsa juga dilaporkan kehilangan gigi di depan, luka di peha kiri dan kanan, serta bibir yang kering dan berdarah. -MalaysiaGazette
















