BATU KAWAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang meneruskan komitmen terhadap kebajikan anggota dan komuniti setempat melalui Program Penyerahan Sumbangan Back to School.
Pengarah JBPM Negeri Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, program itu melibatkan 200 anak-anak anggota bomba serta pelajar daripada lima sekolah berhampiran ibu pejabat JBPM di sini.
Jelas beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga menjelang sesi persekolahan baru, tetapi juga menjadi tanda keprihatinan jabatan terhadap pendidikan anak-anak anggota bomba yang merupakan tonggak kekuatan organisasi.
“Budaya perkhidmatan bomba tidak hanya terhad kepada operasi kecemasan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi tanggungjawab sosial, termasuk menjaga kebajikan keluarga anggota dan masyarakat sekeliling,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan hari ini.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Dewan Datuk Seri Wan Mohd Nor, Ibu Pejabat JBPM Negeri Pulau Pinang.
Program itu dijalankan dengan peruntukan keseluruhan RM20,000 hasil sumbangan Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan JBPM Negeri Pulau Pinang serta sokongan rakan strategik dan beberapa penaja sektor swasta.
Mohamad Shoki menambah, penglibatan sekolah-sekolah berhampiran bukan sahaja mengeratkan hubungan strategik antara JBPM dan komuniti, malah selari dengan aspirasi jabatan sebagai organisasi berjiwa rakyat.
“Penganjuran program ini lebih bermakna bersempena sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhan JBPM tahun ini sekali gus menandakan kesinambungan peranan jabatan dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Kon Yeow memuji inisiatif JBPM Negeri Pulau Pinang kerana memberi manfaat bukan sahaja kepada warga jabatan, malah pelajar di kawasan berdekatan.
Pendekatan berasaskan semangat whole-of-society penting bagi memastikan Pulau Pinang terus berkembang sebagai negeri progresif, berdaya tahan dan inklusif, di samping pembangunan ekonomi yang seimbang dengan keadilan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette















