Gambar hiasan

MELAKA – Seorang remaja lelaki ditemukan meninggal dunia di bilik air rumahnya di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, semalam.

Polis menerima laporan kematian mengejut pelajar lelaki berusia 13 tahun itu kira-kira jam 1.40 tengah hari daripada pihak Hospital Melaka.

Menurut sumber, mangsa sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik air rumahnya oleh kedua-dua ibu bapanya selepas mereka pulang ke rumah pada kira-kira jam 11.30 pagi.

“Sebaik tiba di rumah, ibu mangsa ada terdengar bunyi percikan air dari bilik air namun mendapati pintu berkunci dari dalam sambil memanggil anaknya beberapa kali.

“Mangsa bagaimanapun tidak memberi sebarang respons sehingga bapanya terpaksa memecahkan pintu bilik air sebelum mendapati remaja itu berada dalam keadaan terlentang,” katanya.

Tambahnya, pihak keluarga kemudian menghubungi talian kecemasan 999 dan mangsa dikejarkan ambulans ke Hospital Melaka.

Sumber berkata, pihak hospital kemudian menjalankan bantuan pernafasan (CPR) selama lebih kurang 30 minit.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 12.20 tengah hari dan mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan analisis makmal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast