KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menyuntik minat dan bakat kanak-kanak terhadap kesusasteraan melalui pelaksanaan pertandingan deklamasi sajak, bercerita dan nyanyian anjuran Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS.
Program Hari Sastera Kanak-kanak itu disertai oleh kira-kira 30 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun di sekitar Kota Kinabalu, Kota Belud dan Kota Marudu, baru-baru ini.
Ketua Program PAKK UMS, Dr. Mohd Zafaren Zakaria yang merasmikan program tersebut berkata, pendedahan awal terhadap sastera berupaya menyokong perkembangan akademik kanak-kanak di samping memelihara warisan budaya dan jati diri bangsa.
“Melalui pertandingan yang dianjurkan, kanak-kanak bukan sahaja diasah dari aspek bahasa dan komunikasi, malah dilatih untuk berani tampil ke hadapan, membina keyakinan diri serta menghargai nilai budaya dan kesusasteraan.
“Para peserta menunjukkan tahap keyakinan yang memberangsangkan dengan mengenakan busana kreatif dan menarik sepanjang pertandingan berlangsung.
“Sokongan padu daripada ibu bapa turut menyumbang kepada kejayaan penganjuran program ini, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang positif dan kondusif,” katanya.
Tambahnya, maklum balas yang diterima daripada ibu bapa amat menggalakkan, dengan kebanyakan mereka menyatakan rasa bangga terhadap keberanian dan peningkatan keyakinan diri anak-anak hasil penyertaan dalam program tersebut.
Sementara itu, Penasihat Program Hari Sastera Kanak-kanak, Dr. Juppri Bacotang berkata, penganjuran program tersebut turut memberikan nilai tambah yang signifikan kepada mahasiswa PAKK UMS yang terlibat sebagai fasilitator dan penganjur.
“Penglibatan mahasiswa dalam program ini memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dalam situasi sebenar, khususnya melalui interaksi langsung bersama kanak-kanak dan komuniti luar.
“Ia merupakan platform penting dalam pembangunan kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan masa dan kerja berpasukan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Program, Sharifah Nurhakimah Ilasam merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan program ini, terutamanya kepada semua pelajar program PAKK.
“Pihak kami juga amat menghargai kepercayaan ibu bapa serta sokongan berterusan daripada rakan mahasiswa, para pensyarah dan penaja yang telah bersama-sama memastikan kejayaan penganjuran program ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















