KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan yang terpalit isu lesen penerokaan mineral di Sabah diingatkan supaya tidak ‘memetik’ nama bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin secara terbuka dalam podcast dan media sosial.
Peguam yang mewakili Shamsul, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, tindakan itu boleh menimbulkan prejudis kepada anak guamnya.
Menurut beliau, Albert sepatutnya menggunakan mahkamah sebagai platform yang tepat untuk mengemukakan fakta atau bukti berkaitan kes yang dihadapinya dan Shamsul.
“Kami harap kalau boleh jangan kita komen, kes-kes atau fakta menerui media sosial kerana kami mahu kes ini dibicarakan dalam proses sedia ada di mahkamah.
“Kalau dia ada bukti boleh kemukakan di mahkamah, tidak perlu pergi ke podcast atau mengeluarkan kenyataan sebab ia bukan hanya akan memprejudiskan kes beliau tetapi juga kes anak guam kami,” katanya ketika sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Amer berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa temu ramah atau komen-komen yang dibuat Albert Tei menerusi podcast tertentu yang sedikit sebanyak menyentuh kes melibatkan diri beliau dan Shamsul.
Mengulas lanjut, salah seorang peguamnya lagi iaitu Yusmadi Yusoff mengesahkan pihaknya telah menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkenaan perkara berkenaan.
“Jadi perkara itu di dalam pertimbangan AGC. Kami tidak teragak-agak menulis selanjutnya atau mengambil tindakan yang wajar apabila ia boleh memudaratkan anak guam kami,” tambah beliau.- MalaysiaGazette
















