YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menerima penghormatan tertinggi Republik Türkiye melalui penganugerahan Order of the Republic, yang disampaikan oleh Presiden Recep Tayyip Erdoğan, sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Türkiye. 7 Januari 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan anugerah Order of the Republic yang diterima daripada Kerajaan Turkiye bukan atas kapasiti peribadi sebaliknya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, penganugerahan itu juga melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama untuk keamanan serta kemakmuran sejagat.

Dalam masa sama, beliau berharap pengiktirafan itu akan terus menjadi pemangkin untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Turkiye merentasi pelbagai bidang strategik, demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.

“Menerima penghormatan tertinggi Republik Turkiye melalui penganugerahan Order of the Republic, yang disampaikan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan, sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.

“Saya menerimanya dengan penuh rasa syukur dan rendah diri, bukan atas kapasiti peribadi, sebaliknya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar menerima anugerah itu yang disampaikan Erdogan dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Presiden di Ankara, Turkiye bersempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke republik itu sejak kelmarin.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal dilaporkan berkata, anugerah itu adalah pengiktirafan tertinggi republik berkenaan yang diberikan kepada pemimpin luar yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast