SEGAMAT – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terakhir di Balai Raya Kampung Batu Badak di sini ditutup pada pukul 2 petang semalam dan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah.
PPS tersebut sebelum ini menempatkan 25 mangsa banjir melibatkan lapan keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu Lima.
Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi yang terlibat dalam pengurusan mangsa-mangsa banjir di daerah ini.
“Semoga kerjasama dan hubungan baik yang terjalin ini akan sentiasa menjadi penguat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya pada tahap yang terbaik,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya terus memantau keadaan di semua daerah dari semasa ke semasa.
Menurut APM, terdapat tiga sungai masih berada pada paras bahaya Sungai Muar di Segamat dan Tangkak, Sungai Endau (Mersing), Sungai Skudai (Johor Bahru) dan Sungai Benut (Pontian).- MalaysiaGazette
















